Pages

Monday, May 10, 2010

Oh Siti Khadijah

Siti Khadijah berasal daripada keturunan terhormat serta terkenal sebagai wanita tegas dan cerdas.Beliau adalah wanita kaya dan terkenal serta mampu hidup mewah dengan hartanya sendiri.

Rasulullah s.a.w memperisterikan saidatina Khadijah bukan kerana status sosialnya yang yang tinggi yang terkenal sebagai seorang yang hartawan lagi dermawan tetapi adalah kerana sifat saidatina Khadijah itu sendiri yang mempunyai peribadi dan akhlak yang mulia.

Saidatina Khadijah adalah seorang yang berfikiran tajam, sabar dan berpandangan jauh. Lebih daripada itu, Khadijah adalah seorang isteri yang benar-benar memahami keadaan suaminya. Ini terbukti ketika mana pertama kali baginda menerima wahyu dilantik menjadi utusan Allah, Khadijahlah yang menenangkan hati baginda dan kemudian mempertemukan baginda dengan sepupunya Waraqah bin Naufal yang mengatakan bahawa baginda adalah seorang Nabi.

Khadijah sebenarnya adalah seorang isteri yang mampu menyuntik semangat seorang suami dalam menyempurnakan amanah kepada Allah bahkan beliaulah orang yang mula-mula memeluk Islam sebelum nabi berdakwah di kalangan para sahabat baginda yang lain. Dalam diri Khadijah ditemui teladan wanita terbaik; wanita yang subur dengan kasih-sayang yang juga telah melahirkan anak-anak baginda iaitu: al-Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayya, Umm Kulthum dan Fatimah.

Dalam perjuangan baginda menegakkan agama Islam, Khadijahlah orang yang paling banyak berkorban, harta dan tenaga dalam mempertahankan baginda dari disakiti oleh kaum Quraisy. Begitu banyak peranan yang telah dimainkan oleh khadijah bahkan boleh dikatakan bahawa beliau telah menjadi tulang belakang dalam kegiatan dakwah Rasulullah. Dan berpadanan dengan jasa dan pengorbanannya itu Allah S.W.T telah mengurniakannya sebuah rumah di dalam tempat yang paling mulia iaitu syurga.

Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah SAW, Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah SAW agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyu bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang. Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah SAW, Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.

Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah SWT. Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT. Allah Maha Adil dalam memberi rahmat-Nya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan.



Firman Allah yang bermaksud:
Barang siapa yang mengerjakan amalan saleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan. (An-Nahl: 97)

Rasulullah ketika menceritakan keperibadian Khadijah bersabda, maksudnya:
“ Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan… daripadanyalah aku mendapatkan keturunan.”

Dari ‘Aisyah r.a katanya:
”Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.”


Aku yakin setiap lelaki mengharapkan isteri seperti khadijah kecuali lelaki yang tak memahami erti kita disini.

Dimanakah Siti Khadijah ku..
Ya Tuhan..
Sampaikan pada mimpi..
Jelmakan dalam realiti..

No comments:

Post a Comment